Markus 9:10-18 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Mereka menurut perintah-Nya, tetapi mula mempersoalkan makna “bangkit daripada kematian”.

11. Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?”

12. Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi, mengapa di dalam Alkitab tertulis bahawa Anak Manusia akan mengalami banyak penderitaan serta dihina orang?

13. Aku berkata kepada kamu: Elia sudah datang dan orang memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Hal itu tepat seperti yang tertulis di dalam Alkitab tentang dirinya.”

14. Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus.

15. Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia.

16. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?”

17. Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat.

18. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”

Markus 9