1. Yesus berkata lagi, “Ketahuilah! Ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah dengan penuh kuasa!”
2. Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Ketika mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah.
3. Pakaian-Nya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi dapat membasuh kain sehingga menjadi seputih itu.
4. Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus.
5. Petrus berkata kepada Yesus, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.”
6. Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya, kerana dia dan kedua-dua orang kawannya sangat takut.
7. Lalu awan meliputi mereka dan terdengar suara dari awan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah Dia!”
8. Mereka melihat di sekeliling, tetapi tidak nampak sesiapa pun bersama-sama mereka kecuali Yesus.
9. Ketika mereka turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu nampak, selagi Anak Manusia belum bangkit daripada kematian.”
10. Mereka menurut perintah-Nya, tetapi mula mempersoalkan makna “bangkit daripada kematian”.
11. Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?”
12. Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi, mengapa di dalam Alkitab tertulis bahawa Anak Manusia akan mengalami banyak penderitaan serta dihina orang?
13. Aku berkata kepada kamu: Elia sudah datang dan orang memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Hal itu tepat seperti yang tertulis di dalam Alkitab tentang dirinya.”
14. Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus.
15. Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia.
16. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?”
17. Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat.
18. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”