22. Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh.
23. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, “Dapatkah kamu lihat sesuatu?”
24. Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.”
25. Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali.
26. Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.”
27. Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut kata orang, siapakah Aku ini?”
28. Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi.”
29. “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus.Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!”
30. Lalu Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku.”
31. Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.”
32. Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia.
33. Tetapi Yesus berpaling dan memandang pengikut-pengikut-Nya, lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!”
34. Kemudian Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ. Dia berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku.
35. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya.
36. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati?
37. Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu? Tentu tidak.
38. Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci.”