Markus 8:17-32 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul?

18. Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat

19. bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”Mereka menjawab, “Dua belas.”

20. Yesus bertanya lagi, “Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”Mereka menjawab, “Tujuh.”

21. Yesus berkata, “Dan kamu masih belum faham juga?”

22. Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh.

23. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, “Dapatkah kamu lihat sesuatu?”

24. Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.”

25. Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali.

26. Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.”

27. Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut kata orang, siapakah Aku ini?”

28. Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi.”

29. “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus.Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!”

30. Lalu Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku.”

31. Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.”

32. Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia.

Markus 8