12. Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!”
13. Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik.
14. Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu.
15. Yesus memperingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.”
16. Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.”
17. Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul?
18. Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat
19. bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”Mereka menjawab, “Dua belas.”
20. Yesus bertanya lagi, “Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”Mereka menjawab, “Tujuh.”
21. Yesus berkata, “Dan kamu masih belum faham juga?”
22. Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh.
23. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, “Dapatkah kamu lihat sesuatu?”
24. Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.”
25. Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali.
26. Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.”