Markus 8:11-22 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah.

12. Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!”

13. Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik.

14. Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu.

15. Yesus memperingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.”

16. Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.”

17. Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul?

18. Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat

19. bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”Mereka menjawab, “Dua belas.”

20. Yesus bertanya lagi, “Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”Mereka menjawab, “Tujuh.”

21. Yesus berkata, “Dan kamu masih belum faham juga?”

22. Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh.

Markus 8