Markus 6:22-34 Alkitab Berita Baik (BM)

22. Anak perempuan Herodias menari dan menghiburkan hati Raja Herodes serta tetamunya. Oleh itu Raja Herodes bertitah kepada anak gadis itu, “Anakanda ingin apa? Ayahanda akan memberikan apa sahaja yang anakanda ingini!”

23. Lalu Raja Herodes berjanji kepada gadis itu dengan sumpah. Raja Herodes bertitah, “Ayahanda berjanji memberikan apa sahaja yang anakanda minta, bahkan separuh daripada kerajaan ayahanda sekalipun!”

24. Oleh itu gadis itu keluar dan bertanya kepada ibunya, “Apakah yang sebaiknya saya minta?”Ibunya menjawab, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.”

25. Gadis itu segera kembali kepada Raja Herodes dan berkata, “Anakanda minta ayahanda memberi anakanda kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga!”

26. Setelah mendengar permintaan itu, Raja Herodes sangat berdukacita. Tetapi Raja Herodes tidak dapat menolak permintaan itu kerana telah berjanji dengan sumpah di hadapan semua tetamunya.

27. Lalu Raja Herodes memberikan perintah kepada askarnya untuk mengambil kepala Yohanes Pembaptis. Askar itu meninggalkan istana, pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes.

28. Kemudian kepala itu diletakkannya di atas talam, dibawanya ke istana, dan diserahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya.

29. Apabila pengikut Yohanes mendengar hal itu, mereka mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya.

30. Rasul-rasul yang diutus oleh Yesus kembali kepada Yesus, dan melaporkan segala yang sudah dilakukan dan diajarkan oleh mereka.

31. Orang yang datang dan pergi di tempat itu sedemikian banyak sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap.”

32. Oleh itu mereka bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi.

33. Tetapi orang ramai nampak mereka meninggalkan tempat itu dan mengenal mereka. Lalu orang dari semua kota di kawasan itu berlari melalui jalan darat supaya mendahului Yesus dan pengikut-Nya ke tempat yang ditujui mereka.

34. Apabila Yesus turun dari perahu, Dia nampak orang ramai di situ. Hati-Nya penuh belas kasihan kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.

Markus 6