Markus 6:11-23 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Tetapi jika kamu tiba di suatu tempat lalu penduduk di situ tidak mahu menerima kamu atau mendengar kata-kata kamu, tinggalkanlah kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka!”

12. Demikianlah dua belas orang pengikut Yesus pergi dan menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat daripada dosa.

13. Mereka mengusir roh jahat, menyapukan minyak zaitun pada orang sakit, dan menyembuhkan mereka.

14. Raja Herodes mendengar segala kejadian itu, kerana nama Yesus sudah terkenal di semua tempat. Ada orang berkata, “Yohanes Pembaptis sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.”

15. Tetapi yang lain berkata, “Dia Elia.”Ada pula yang berkata, “Dia itu nabi, seperti salah seorang nabi zaman dahulu.”

16. Ketika mendengar hal itu, Raja Herodes bertitah, “Dialah Yohanes Pembaptis! Dengan perintah beta, kepalanya sudah dipancung, tetapi dia hidup semula!”

17. Dahulu Raja Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat lalu dimasukkan ke dalam penjara. Raja Herodes berbuat demikian kerana Herodias, yang telah dikahwininya walaupun sebenarnya wanita itu isteri Filipus, saudara Raja Herodes.

18. Yohanes selalu menegur Raja Herodes, katanya, “Tuanku bersalah kerana berkahwin dengan isteri saudara tuanku!”

19. Itulah sebabnya Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan ingin membunuh dia. Tetapi Herodias tidak dapat melakukan hal itu kerana dihalang oleh Raja Herodes.

20. Raja Herodes takut akan Yohanes kerana Raja Herodes tahu bahawa Yohanes seorang yang baik dan diutus oleh Allah. Oleh itu Raja Herodes menjaga keselamatan Yohanes. Raja Herodes suka mendengar kata-kata Yohanes, meskipun kata-katanya membuat Raja Herodes sangat gelisah.

21. Akhirnya Herodias mendapat peluang pada hari keputeraan Raja Herodes. Raja Herodes mengadakan jamuan untuk semua pegawai tinggi kerajaan, pegawai tentera, dan tokoh-tokoh masyarakat Galilea.

22. Anak perempuan Herodias menari dan menghiburkan hati Raja Herodes serta tetamunya. Oleh itu Raja Herodes bertitah kepada anak gadis itu, “Anakanda ingin apa? Ayahanda akan memberikan apa sahaja yang anakanda ingini!”

23. Lalu Raja Herodes berjanji kepada gadis itu dengan sumpah. Raja Herodes bertitah, “Ayahanda berjanji memberikan apa sahaja yang anakanda minta, bahkan separuh daripada kerajaan ayahanda sekalipun!”

Markus 6