Markus 5:29-43 Alkitab Berita Baik (BM)

29. Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh.

30. Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?”

31. Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?”

32. Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya.

33. Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya.

34. Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!”

35. Semasa Yesus berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi.”

36. Yesus tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, “Jangan takut, percayalah kepada-Ku!”

37. Setelah itu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudara Yakobus.

38. Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat.

39. Lalu Yesus masuk dan berkata kepada mereka, “Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; dia hanya tidur!”

40. Mereka mula mentertawakan Yesus. Oleh itu Yesus menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring.

41. Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum,” yang bererti, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!”

42. Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum.

43. Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, “Berilah anak ini makanan.”

Markus 5