Markus 5:2-14 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Sebaik sahaja Yesus turun dari perahu, Dia didatangi oleh seorang lelaki yang keluar dari gua kubur.

3. Orang itu dirasuk roh jahat dan tinggal di kawasan perkuburan. Tiada seorang pun dapat mengikat dia lagi, walaupun dengan rantai.

4. Banyak kali kaki dan tangannya dirantai, tetapi dia sentiasa memutuskan rantai itu dan mematahkan belenggu besi pada kakinya. Dia begitu kuat sehingga tiada seorang pun dapat menahaninya.

5. Siang malam dia berkeliaran di kuburan dan di bukit, sambil berteriak-teriak dan melukai tubuhnya dengan batu.

6. Dia masih jauh tatkala dia nampak Yesus. Segera dia lari mendekati Yesus lalu sujud di hadapan-Nya.

7. Dengan suara keras dia berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Demi Allah, aku memohon, janganlah seksa aku!” (

8. Dia berkata demikian kerana Yesus berkata kepadanya, “Roh jahat, keluarlah daripada orang ini!”)

9. Lalu Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?”Orang itu menjawab, “ ‘Legiun’ - kerana kami ini banyak sekali.”

10. Dia memohon dengan sangat supaya Yesus tidak menyuruh roh-roh jahat itu keluar dari kawasan itu.

11. Dekat tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit.

12. Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Suruhlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.”

13. Yesus bersetuju. Kemudian roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Kesemua babi itu - lebih kurang dua ribu ekor - terjun dari pinggir jurang ke dalam tasik lalu tenggelam.

14. Penjaga-penjaga kawanan babi itu lari dan menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung. Lalu penduduk keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku.

Markus 5