Markus 15:14-30 Alkitab Berita Baik (BM)

14. Pilatus bertanya, “Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?”Mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!”

15. Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas untuk mereka. Kemudian dia menyuruh orang mencambuk Yesus dan menyerahkan Dia kepada askar supaya disalib.

16. Askar-Askar membawa Yesus ke balai istana gabenor dan mengumpulkan semua askar yang lain.

17. Mereka memakaikan jubah ungu pada Yesus, serta membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri lalu meletakkannya pada kepala Yesus.

18. Setelah itu mereka memberikan hormat kepada-Nya, “Daulat raja orang Yahudi!”

19. Mereka memukul kepala-Nya dengan kayu, meludahi-Nya serta sujud di hadapan-Nya.

20. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah ungu itu lalu mengenakan pakaian-Nya semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.

21. Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.)

22. Mereka membawa Yesus ke tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak.”

23. Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi Dia tidak mahu meminumnya.

24. Kemudian mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing.

25. Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi.

26. Pada salib itu dipasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Raja Orang Yahudi.”

27. Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. [

28. Dengan demikian apa yang tertulis di dalam Alkitab dipenuhi, “Dia dianggap sebagai penjahat.”]

29. Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Cis! Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari!

30. Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah dirimu!”

Markus 15