Markus 14:56-70 Alkitab Berita Baik (BM)

56. Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan.

57. Kemudian beberapa orang berdiri dan memberikan kesaksian palsu tentang Yesus.

58. Mereka berkata, “Kami mendengar orang ini berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, lalu selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.’ ”

59. Tetapi kesaksian mereka pun saling bertentangan.

60. Setelah itu Imam Agung berdiri di hadapan mereka semua dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?”

61. Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, “Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?”

62. Yesus menjawab, “Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!”

63. Imam Agung mengoyakkan pakaiannya dan berkata, “Kita tidak memerlukan saksi lagi!

64. Kamu sudah mendengar dia mengkufuri Allah! Apakah keputusan kamu?”Mereka semua mengambil keputusan bahawa Yesus memang bersalah dan mesti dihukum mati.

65. Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi mata-Nya dan memukul Dia. “Tekalah,” kata mereka, “siapa yang memukul kamu?” Pengawal-pengawal di situ pun menampar Dia.

66. Petrus masih di halaman apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang.

67. Apabila dia nampak Petrus berdiang, dia mengamati Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Nasaret itu.”

68. Tetapi Petrus menafikannya. Dia berkata, “Aku tidak tahu dan tidak faham akan apa yang kamu katakan.” Lalu dia pergi ke pintu masuk halaman itu. Pada ketika itu, ayam berkokok.

69. Hamba perempuan tadi nampak Petrus di situ. Dia berkata pula kepada semua orang di situ, “Orang ini seorang daripada mereka!”

70. Tetapi Petrus menafikannya lagi.Tidak lama kemudian, semua orang di situ menuduh Petrus lagi, “Kamu tidak dapat menafikannya bahawa kamu salah seorang daripada mereka, kerana kamu pun dari Galilea!”

Markus 14