5. Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak, dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Mereka mengecam wanita itu.
6. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji.
7. Orang miskin sentiasa ada antara kamu. Jika kamu hendak menolong mereka, bila-bila pun boleh. Tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu.
8. Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangi Aku dengan minyak wangi untuk menyediakan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku sebelum waktunya.
9. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.”
10. Kemudian Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, pergi kepada para ketua imam dengan maksud untuk menyerahkan Yesus kepada mereka.
11. Mereka suka sekali mendengar tawaran Yudas, lalu berjanji memberikan wang kepadanya. Yudas pun mula mencari peluang untuk mengkhianati Yesus.
12. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?”
13. Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, “Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia
14. ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di mana bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska.’
15. Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah teratur dan lengkap dengan perabot, kepada kamu. Siapkanlah segala-galanya untuk kita di situ.”
16. Kedua-dua orang pengikut itu pergi ke bandar dan mendapati semuanya seperti yang telah dikatakan oleh Yesus, lalu mereka pun menyediakan jamuan Paska itu.