Markus 14:40-50 Alkitab Berita Baik (BM)

40. Ketika Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia mendapati mereka masih tidur kerana terlalu mengantuk. Mereka tidak tahu akan apa yang harus dikatakan kepada Yesus.

41. Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa.

42. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!”

43. Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi.

44. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!”

45. Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia.

46. Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat.

47. Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya.

48. Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat?

49. Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.”

50. Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia.

Markus 14