Markus 14:24-35 Alkitab Berita Baik (BM)

24. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah.

25. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.”

26. Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.

27. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’

28. Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea lebih dahulu daripada kamu.”

29. Petrus menjawab, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat begitu.”

30. Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam berkokok dua kali malam ini, tiga kali engkau akan berkata bahawa engkau tidak mengenal Aku.”

31. Petrus menjawab dengan lebih tegas, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!”Semua pengikut yang lain pun berkata demikian.

32. Mereka tiba di satu tempat bernama Getsemani. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.”

33. Kemudian Dia mengajak Petrus, Yakobus, dan Yohanes pergi bersama-sama Dia. Yesus sangat sedih dan gelisah.

34. Dia berkata kepada mereka, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah!”

35. Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa supaya jika boleh Dia tidak usah mengalami saat penderitaan itu.

Markus 14