13. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”
14. “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ di tempat yang terlarang baginya. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Pada waktu itu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.
15. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu.
16. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah.
17. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi!
18. Berdoalah kepada Allah supaya perkara-perkara ini tidak berlaku pada musim sejuk!
19. Pada masa itu akan timbul suatu kesusahan yang belum pernah berlaku, sejak Allah menjadikan dunia hingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi.
20. Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat-Nya yang terpilih, Allah memendekkan masa itu.
21. Pada masa itu jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu.
22. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, jika mungkin umat pilihan Allah juga.
23. Berjaga-jagalah! Semua perkara itu telah Aku katakan kepada kamu sebelum semuanya berlaku.”