20. Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak.
21. Lalu yang kedua berkahwin dengan balunya, tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga,
22. dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Tujuh orang adik-beradik itu berkahwin dengan wanita yang sama, lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya wanita itu sendiri meninggal.
23. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.”
24. Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Tahukah kamu apa sebabnya? Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah.
25. Apabila orang mati dibangkitkan, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga, mereka tidak berkahwin.
26. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca di dalam kitab Musa kisah tentang belukar yang bernyala itu? Di dalam kisah itu tertulis bahawa Allah berfirman kepada Musa, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’
27. Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati. Pendapat kamu salah sama sekali!”
28. Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?”
29. Yesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa.
30. Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’
31. Perintah yang kedua ialah, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.”
32. Guru Taurat itu berkata kepada Yesus, “Bagus, guru! Memang benar apa yang guru katakan: Tuhanlah Allah Yang Esa dan tidak ada yang lain.
33. Manusia harus mengasihi Allah dengan sepenuh hati, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatannya. Dia juga harus mengasihi sesama manusia seperti dia mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua perintah ini lebih mustahak daripada mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan dan korban-korban lain.”