7. Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus, lalu mengalas punggung keldai itu dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya.
8. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat dahan-dahan di ladang lalu menyelerakkannya di jalan.
9. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang mula berseru-seru, “Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.
10. Diberkatilah pemerintahan-Nya yang akan datang - pemerintahan Daud nenek moyang kita! Pujilah Allah!”
11. Yesus masuk ke Yerusalem, lalu pergi ke Rumah Tuhan sambil memandang di sekeliling-Nya. Tetapi kerana hari sudah petang, Dia pergi bersama-sama dua belas orang pengikut-Nya ke Betania.
12. Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar.
13. Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara.
14. Yesus berkata kepada pokok ara itu, “Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!”Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu.
15. Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.
16. Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan.
17. Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!”
18. Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya.
19. Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu.
20. Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya.
21. Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, “Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!”
22. Yesus menjawab, “Percayalah kepada Allah.