Markus 11:20-31 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya.

21. Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, “Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!”

22. Yesus menjawab, “Percayalah kepada Allah.

23. Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu.

24. Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu.

25. Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu. [

26. Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.]”

27. Mereka kembali lagi ke Yerusalem. Ketika Yesus berjalan di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya.

28. Mereka bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?”

29. Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja kepada kamu. Jawablah dan Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.

30. Katakanlah, dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?”

31. Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’

Markus 11