26. Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?”
27. Yesus memandang mereka lalu menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.”
28. Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.”
29. “Betul!” kata Yesus, “Percayalah kepada-Ku: Sesiapa yang meninggalkan rumah tangganya, atau saudara lelakinya atau saudara perempuannya, atau ibunya, atau bapanya, atau anak-anaknya, atau ladangnya kerana Aku dan kerana Berita Baik itu,
30. akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal.
31. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.”
32. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya.