Markus 10:2-18 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Beberapa orang Farisi datang hendak memerangkap Dia. Mereka bertanya, “Menurut Taurat kita, bolehkah orang menceraikan isteri?”

3. Yesus menjawab dengan bertanya, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?”

4. Mereka menjawab, “Musa membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai.”

5. Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu kerana kamu terlalu sukar diajar.

6. Tetapi pada mula-mulanya, pada waktu Allah menciptakan manusia, ada dikatakan bahawa ‘Allah menjadikan mereka lelaki dan perempuan.

7. Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya,

8. dan kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang tetapi satu.

9. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!”

10. Setelah mereka pulang ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus tentang hal itu.

11. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang lelaki yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina terhadap isterinya yang pertama.

12. Demikian juga seorang wanita yang menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, pun berzina.”

13. Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka.

14. Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah.

15. Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.”

16. Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka.

17. Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”

18. “Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah.

Markus 10