28. Kira-kira seminggu setelah Yesus mengatakan perkara-perkara itu, Dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus ke sebuah bukit untuk berdoa.
29. Sedang Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilauan.
30. Tiba-tiba dua orang bercakap dengan Dia; mereka Musa dan Elia.
31. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan cahaya dari syurga. Mereka berkata-kata dengan Yesus tentang bagaimana Yesus akan segera memenuhi rancangan Allah dengan kematian-Nya di Yerusalem.
32. Pada waktu itu Petrus dan kawan-kawannya tidur nyenyak. Tetapi mereka terjaga dan nampak kemuliaan Yesus serta dua orang yang berdiri dengan-Nya.
33. Ketika dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang dikatakannya.)
34. Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut.
35. Dari awan itu terdengar suara berkata, “Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!”
36. Apabila suara itu berhenti berkata-kata, mereka melihat Yesus seorang diri di situ. Pengikut-pengikut-Nya tidak berkata apa-apa tentang semuanya itu. Pada waktu itu mereka tidak memberitahu sesiapa pun apa yang telah dilihat oleh mereka.
37. Keesokan harinya Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya turun dari bukit dan orang ramai datang menjumpai Yesus.
38. Seorang lelaki dari tengah-tengah orang ramai itu berseru, “Guru, tolonglah lihat anak saya - anak tunggal saya!
39. Apabila roh jahat merasuknya, dia tiba-tiba berteriak dan menderita penyakit gila babi sehingga mulutnya berbuih. Roh jahat itu terus-menerus menyakiti dia dan tidak mahu melepaskannya!