Lukas 9:13-24 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.”Mereka menjawab, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?”

14. (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.)Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.”

15. Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk.

16. Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu.

17. Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.

18. Pada suatu hari, ketika Yesus sedang berdoa sendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang ramai, siapakah Aku ini?”

19. Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia. Tetapi yang lain berkata salah seorang nabi dahulu kala yang sudah hidup semula.”

20. “Tetapi menurut kamu siapakah Aku ini?” tanya Yesus.Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah.”

21. Dengan tegas Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jangan ceritakan hal itu kepada sesiapa pun.”

22. Dia berkata juga, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, serta ditentang oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan.”

23. Setelah itu Dia berkata kepada orang ramai, “Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku.

24. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mendapat hidup yang sejati.

Lukas 9