Lukas 8:5-16 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Ketika dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Benih itu dipijak-pijak orang dan dimakan burung.

6. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu. Apabila benih bertunas, tanaman itu segera layu kerana tanahnya kering.

7. Ada juga yang jatuh di tengah-tengah semak berduri. Apabila benih bertunas, semak berduri yang tumbuh bersama-samanya membantutkan tumbuhan itu.

8. Tetapi ada juga benih yang jatuh di tanah subur, lalu tumbuh dan menghasilkan buah seratus kali ganda.”Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu, Dia berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”

9. Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya makna perumpamaan itu.

10. Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi yang lain diberitahukan hal itu melalui perumpamaan, supaya mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak faham.”

11. “Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu firman Allah.

12. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah, tetapi Iblis datang dan mengambil perkhabaran itu dari hati mereka, supaya mereka tidak percaya ataupun diselamatkan.

13. Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati. Mereka percaya sekejap sahaja dan ketika cubaan datang mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu.

14. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran, kekayaan, dan kemewahan hidup membantutkan perkhabaran itu sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang.

15. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu serta menyimpannya di dalam hati yang baik dan jujur. Mereka bertekun sehingga menghasilkan buah.”

16. “Tiada seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, ataupun meletakkannya di bawah katil. Dia akan meletakkan pelita itu di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke dalam rumah dapat melihat cahayanya.

Lukas 8