17. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan diketahui dan didedahkan.
18. Oleh itu perhatikanlah apa yang kamu dengar. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang disangka ada padanya akan diambil juga.”
19. Ibu dan saudara-saudara Yesus datang kepada Yesus, tetapi mereka tidak dapat menghampiri Dia kerana orang di situ terlalu banyak.
20. Lalu seorang berkata kepada Yesus, “Tuan, ibu dan saudara-saudara tuan di luar. Mereka hendak berjumpa dengan tuan.”
21. Tetapi Yesus berkata kepada mereka semua, “Orang yang mendengar firman Allah serta mentaatinya, merekalah ibu dan saudara-saudara-Ku.”
22. Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberang tasik.” Mereka pun bertolak.
23. Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua.
24. Pengikut-pengikut Yesus pergi kepada Yesus lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Guru, Guru, kita hampir tenggelam!”Yesus bangun lalu menengking angin dan ombak yang bergelora. Angin dan ombak pun teduh dan tasik menjadi tenang sekali.
25. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?”Tetapi mereka hairan dan takut serta bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?”
26. Mereka terus belayar ke daerah Gerasa di seberang Tasik Galilea.
27. Sedang Yesus naik ke darat, Dia didatangi seorang lelaki dari bandar. Orang itu dirasuk roh jahat. Sudah lama orang itu tidak berpakaian dan tidak mahu tinggal di rumah. Dia tinggal di gua kubur.
28. Apabila dia melihat Yesus, dia berteriak serta sujud di hadapan Yesus, dan berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Aku mohon, janganlah seksa aku!”
29. Orang itu berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Banyak kali roh jahat itu menguasai orang itu. Walaupun dia dijaga dengan ketat dan kaki tangannya dirantai, dia dapat memutuskan rantai itu, lalu roh jahat membawa dia ke padang gurun.