Lukas 7:26-41 Alkitab Berita Baik (BM)

26. Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi.

27. Yohanes itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu supaya menyediakan jalan bagi-Mu.’ ”

28. Yesus berkata pula, “Hendaklah kamu tahu bahawa di dunia ini tidak ada orang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Tetapi orang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.”

29. Orang ramai termasuk para pemungut cukai mendengar Yesus mengatakan hal itu. Merekalah yang mentaati perintah Allah dan mahu dibaptis oleh Yohanes.

30. Tetapi orang Farisi dan guru Taurat tidak mahu menerima apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka, dan tidak mahu dibaptis oleh Yohanes.

31. Yesus berkata, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Seperti apakah mereka?

32. Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’

33. Yohanes Pembaptis datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’

34. Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan kawan orang yang dihina masyarakat!’

35. Walaupun demikian, kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan semua orang yang menerima kebijaksanaan itu.”

36. Seorang Farisi bernama Simon menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke rumahnya lalu mulai makan.

37. Di kota itu ada pula seorang wanita yang hidup dalam dosa. Dia mendengar bahawa Yesus sedang makan di rumah orang Farisi itu, lalu dia pergi ke situ sambil membawa sebotol minyak wangi.

38. Dia berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya; dia menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Kemudian kaki Yesus dikeringkan oleh wanita itu dengan rambutnya, lalu kaki Yesus diciumnya dan dituangi minyak wangi.

39. Apabila orang Farisi yang menjemput Yesus melihat kejadian ini, dia berkata dalam hati, “Jika dia ini benar-benar seorang nabi, tentu dia tahu bahawa wanita yang menyentuhnya itu hidup dalam dosa!”

40. Yesus berkata kepadanya, “Simon, ada yang hendak Aku katakan kepadamu.”Simon menjawab, “Katakanlah guru.”

41. Yesus berkata, “Ada dua orang lelaki berhutang kepada seorang peminjam wang. Yang seorang berhutang lima ratus keping wang perak dan yang seorang lagi lima puluh keping wang perak.

Lukas 7