7. Beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi sedang mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia baik-baik sama ada Dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat.
8. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Berdirilah dan marilah ke depan.” Orang itu bangun lalu berdiri di situ.
9. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak bertanya: Menurut Taurat apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakannya?”
10. Yesus memandang mereka semua, lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya, lalu tangannya pun sembuh.
11. Tetapi mereka sangat marah dan mula berunding sesama sendiri tentang apa yang boleh dilakukan oleh mereka terhadap Yesus.
12. Pada masa itu Yesus naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di situ Dia berdoa kepada Allah semalam-malaman.
13. Apabila hari sudah terang, Dia memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu memilih dua belas orang daripada mereka. Yesus menamakan dua belas orang itu rasul. Mereka terdiri daripada
14. Simon (yang juga disebut-Nya Petrus) dan adiknya Andreas; Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus,
15. Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut Patriot),
16. Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat.
17. Apabila Yesus turun dari bukit bersama-sama rasul-rasul itu, Dia berdiri di tempat yang rata dengan sebilangan besar pengikut-Nya. Di situ juga ada orang ramai yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, kota Tirus dan Sidon yang di tepi laut.
18. Mereka datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh jahat juga datang dan disembuhkan.
19. Semua orang cuba menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua.
20. Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata,“Berbahagialah kamu yang miskin;kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah!
21. Berbahagialah kamu yang lapar sekarang;kamu akan dikenyangkan!Berbahagialah kamu yang menangis sekarang;kamu akan tertawa!
22. Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia!
23. Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga.
24. Tetapi malanglah kamu yang kaya sekarang ini,kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup!