Lukas 6:15-30 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut Patriot),

16. Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat.

17. Apabila Yesus turun dari bukit bersama-sama rasul-rasul itu, Dia berdiri di tempat yang rata dengan sebilangan besar pengikut-Nya. Di situ juga ada orang ramai yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, kota Tirus dan Sidon yang di tepi laut.

18. Mereka datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh jahat juga datang dan disembuhkan.

19. Semua orang cuba menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua.

20. Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata,“Berbahagialah kamu yang miskin;kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah!

21. Berbahagialah kamu yang lapar sekarang;kamu akan dikenyangkan!Berbahagialah kamu yang menangis sekarang;kamu akan tertawa!

22. Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia!

23. Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga.

24. Tetapi malanglah kamu yang kaya sekarang ini,kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup!

25. Malanglah kamu yang kenyang sekarang ini,kerana kamu akan kelaparan!Malanglah kamu yang tertawa sekarang ini,kerana kamu akan berdukacita dan menangis!

26. Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.”

27. “Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu.

28. Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu.

29. Jika seseorang menampar pipi kamu yang sebelah, biarkan dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang merampas jubah kamu, berikanlah baju kamu juga.

30. Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikan apa yang dimintanya; jika seseorang merampas milik kamu, janganlah minta kembali barang itu.

Lukas 6