Lukas 5:21-39 Alkitab Berita Baik (BM)

21. Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!”

22. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian?

23. Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’?

24. Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!”

25. Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah.

26. Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!”

27. Setelah itu Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.”

28. Lewi berdiri, meninggalkan semuanya, lalu mengikut Yesus.

29. Kemudian Lewi mengadakan jamuan besar di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain makan bersama-sama mereka.

30. Beberapa orang Farisi dan guru Taurat bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Yesus. Mereka bertanya, “Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?”

31. Yesus menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor, hanya orang sakit.

32. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa.”

33. Beberapa orang berkata kepada Yesus, “Pengikut Yohanes dan pengikut orang Farisi kerap kali berpuasa dan berdoa. Tetapi pengikut-Mu makan dan minum.”

34. Yesus menjawab, “Dapatkah kamu menyuruh tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak!

35. Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka akan berpuasa.”

36. Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, “Tidak ada orang yang menampal pakaian lama dengan secebis kain daripada pakaian baru. Jika dia berbuat demikian, dia akan merosakkan pakaian baru itu; lagi pula kain penampal yang baru itu tidak berpadan dengan pakaian lama.

37. Demikian juga tiada seorang pun menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain baru itu akan memecahkan kirbat itu. Wain itu terbuang dan kirbat itu pun rosak.

38. Wain baru mesti dituang ke dalam kirbat kulit baru!

39. Tidak seorang pun mahu minum wain baru setelah minum wain tua. ‘Wain tua lebih baik,’ katanya.”

Lukas 5