31. Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32. Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa.
33. Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat,
34. “Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!”
35. Yesus memerintah roh itu, “Diam, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya.
36. Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!”
37. Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu.
38. Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus.
39. Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka.
40. Ketika matahari terbenam, semua orang yang mempunyai kawan yang menderita berbagai-bagai penyakit membawa mereka kepada Yesus. Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas tiap-tiap orang dan menyembuhkan mereka semua.
41. Roh-roh jahat pun keluar daripada banyak orang, sambil berseru, “Engkau Anak Allah!”Yesus menengking roh-roh itu dan berkata, “Diam!” Dia berkata demikian kerana roh-roh itu tahu bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah.
42. Apabila fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu lalu pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia. Apabila mereka menjumpai Dia, mereka cuba menghalang Dia meninggalkan kota itu.
43. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu.”
44. Demikianlah Dia menyampaikan Berita Baik itu di rumah ibadat di seluruh Yudea.