27. Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.”
28. Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu.
29. Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang.
30. Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ.
31. Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32. Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa.
33. Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat,
34. “Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!”
35. Yesus memerintah roh itu, “Diam, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya.
36. Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!”