23. Tetapi Yesus berkata, “Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.’ ”
24. Yesus berkata lagi, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri.
25. Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu.
26. Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon.
27. Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.”
28. Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu.
29. Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang.
30. Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ.
31. Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32. Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa.
33. Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat,
34. “Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!”
35. Yesus memerintah roh itu, “Diam, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya.
36. Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!”
37. Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu.
38. Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus.
39. Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka.