2. Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar.
3. Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti.”
4. Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’ ”
5. Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya.
6. “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,” kata Iblis kepada Yesus. “Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka.
7. Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku. ”
8. Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ”
9. Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah,
10. kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’
11. Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ”
12. Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ”
13. Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu.