Lukas 3:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada tahun kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus ialah gabenor negeri Yudea dan Herodes memerintah negeri Galilea. Filipus, saudara Herodes, menguasai kawasan Iturea dan Trakhonitis; dan Lisanias memerintah di Abilene.

2. Pada masa itu, Hanas dan Kayafas menjabat kedudukan Imam Agung. Itulah masanya Allah berfirman kepada Yohanes anak Zakharia di padang gurun.

3. Lalu Yohanes menjelajah seluruh kawasan Sungai Yordan dan mengisytiharkan berita daripada Allah. Yohanes berseru, “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu.”

4. Seperti yang tertulis di dalam kitab Nabi Yesaya,“Seorang berseru di padang gurun,‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan,luruskanlah jalan bagi-Nya!

5. Tiap-tiap lembah hendaklah ditimbus,tiap-tiap gunung dan bukit diratakan.Jalan yang berliku-liku hendaklah diluruskan,dan jalan yang lekak-lekuk diratakan.

6. Lalu setiap orang akan melihatAllah menyelamatkan manusia!’ ”

7. Banyak orang datang kepada Yohanes supaya dibaptis olehnya. “Kamu orang jahat!” kata Yohanes kepada mereka. “Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang?

8. Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa! Janganlah mula berkata sesama sendiri, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham!

Lukas 3