Lukas 23:5-19 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Tetapi mereka berulang kali berkata, “Dengan ajarannya, orang ini menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak; dia memulakannya di Galilea dan sekarang sudah sampai di sini pula.”

6. Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya, “Adakah orang ini orang Galilea?”

7. Apabila Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang diperintah oleh Herodes, dia menyuruh orang menghantar Yesus kepada Herodes. Ketika itu, Herodes juga di Yerusalem.

8. Herodes sangat gembira ketika nampak Yesus, kerana sudah lama dia mendengar perihal Yesus dan ingin melihat dia. Herodes berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat.

9. Oleh itu Herodes mengajukan banyak pertanyaan kepada Yesus, tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun.

10. Semua ketua imam dan guru Taurat yang di situ maju ke hadapan dan mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan yang berat.

11. Herodes dan askar-askarnya mempermainkan serta menghina Yesus. Mereka mengenakan jubah yang indah pada Yesus, lalu mengembalikan Yesus kepada Pilatus.

12. Mulai hari itu Herodes dan Pilatus bersahabat; dahulunya mereka bermusuhan.

13. Pilatus mengumpulkan para ketua imam, pemimpin, dan orang ramai.

14. Dia berkata kepada mereka, “Kamu membawa orang ini kepadaku dan berkata bahawa dia menyesatkan rakyat. Aku sudah menyoal dia di sini di hadapan kamu, dan tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sebagaimana yang kamu tuduhkan kepadanya.

15. Herodes pun berpendapat demikian, kerana dia menghantar Yesus kembali kepada kami. Orang ini tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati.

16. Oleh itu aku menyuruh orang mencambuk dia, lalu membebaskannya.” [

17. Pada tiap-tiap perayaan Paska, Pilatus harus membebaskan seorang tahanan untuk rakyat.]

18. Semua orang di situ berseru, “Bunuhlah dia! Bebaskan Barabas untuk kami!” (

19. Barabas dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)

Lukas 23