36. Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya.
37. Mereka berkata, “Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!”
38. Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.”
39. Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!”
40. Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati.
41. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!”
42. Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!”
43. Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.”
44. Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang.
45. Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai.
46. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal.
47. Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, “Memang Dia tidak bersalah!”
48. Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal.
49. Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu.
50-51. Ada seorang bernama Yusuf; dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang baik yang dihormati orang. Dia sedang menantikan masanya Allah mula memerintah. Meskipun dia anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu.
52. Dia menghadap Pilatus dan meminta jenazah Yesus.