Lukas 21:6-22 Alkitab Berita Baik (BM)

6. “Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!”

7. Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, bilakah perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?”

8. Yesus berkata, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ dan ‘Masanya sudah tiba!’ Jangan ikut mereka.

9. Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba.”

10. Yesus berkata lagi, “Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain.

11. Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit.

12. Tetapi sebelum segala perkara ini berlaku, kamu akan ditangkap dan dianiaya. Kamu akan dibawa ke rumah ibadat untuk diadili, lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja dan penguasa kerana kamu pengikut-Ku.

13. Inilah peluang kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik.

14. Bertekadlah bahawa kamu tidak akan khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri.

15. Aku akan memberikan kata-kata dan kebijaksanaan kepada kamu, sehingga tiada seorang musuh pun dapat melawan atau menafikan kata-kata kamu.

16. Kamu akan dikhianati oleh ibu bapa, saudara, sanak keluarga, dan sahabat kamu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu.

17. Semua orang akan membenci kamu kerana Aku,

18. tetapi sehelai rambut pun di kepala kamu tidak akan hilang.

19. Hendaklah kamu teguh hati! Dengan jalan ini kamu akan mendapat hidup sejati.”

20. “Apabila kamu nampak Yerusalem dikepung tentera, kamu akan tahu bahawa kota itu segera akan dimusnahkan.

21. Pada waktu itu orang di Yudea mesti lari ke pergunungan; orang yang di dalam kota mesti meninggalkan kota, dan orang yang di luar kota jangan masuk ke dalam kota.

22. Itulah yang harus kamu lakukan kerana masa itu ‘Hari Hukuman’, apabila semua yang telah tertulis di dalam Alkitab berlaku.

Lukas 21