31. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa;
32. bagaikan cahaya yang menunjukkan kehendak-Mu bagi bangsa-bangsa laindan cahaya yang mendatangkan kemuliaan bagi umat-Mu Israel.”
33. Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu.
34. Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini sudah dipilih oleh Allah untuk membinasakan dan menyelamatkan banyak orang Israel. Dia akan menjadi tanda daripada Allah, yang akan dilawan oleh banyak orang,
35. dan dengan demikian terdedahlah rahsia fikiran mereka. Seperti pedang yang tajam, kesedihan akan menikam hatimu.”
36. Ada pula seorang nabi wanita bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia balu dan umurnya sudah lanjut. Dia berkahwin selama tujuh tahun,
37. dan sekarang umurnya lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan. Siang malam dia beribadat kepada Allah dengan berdoa dan berpuasa.
38. Tepat pada waktu itu dia datang, lalu bersyukur kepada Allah. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Allah membebaskan Yerusalem.
39. Setelah Yusuf dan Maria melakukan segala yang diwajibkan oleh hukum Tuhan, mereka kembali ke kampung mereka di Nasaret, di daerah Galilea.
40. Demikianlah anak itu bertambah besar dan kuat. Dia sangat bijaksana dan Allah berkenan kepada-Nya.
41. Tiap-tiap tahun ibu bapa Yesus pergi ke Yerusalem untuk merayakan Perayaan Paska.
42. Ketika Yesus berumur dua belas tahun, mereka pergi ke perayaan itu seperti biasa.
43. Sehabis perayaan itu mereka pulang, tetapi Yesus, anak itu, masih di Yerusalem. Ibu bapa-Nya tidak tahu.
44. Mereka menyangka Dia bersama-sama rombongan itu. Setelah mereka berjalan sejauh sehari, barulah mereka mencari Dia antara sanak saudara dan kawan mereka.
45. Tetapi mereka tidak menjumpai Yesus. Lalu mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari Dia.
46. Pada hari ketiga mereka mendapati Yesus di dalam Rumah Tuhan. Dia sedang duduk mendengarkan guru-guru agama Yahudi dan mengajukan soalan.
47. Semua orang yang mendengar Yesus hairan kerana jawapan-Nya bijak.
48. Ibu bapa-Nya pun hairan melihat Dia. Ibu-Nya berkata kepada Dia, “Nak, mengapa berbuat seperti ini terhadap ayah dan emak? Cemas hati ayah dan emak mencari-Mu!”