Lukas 19:33-48 Alkitab Berita Baik (BM)

33. Sedang mereka melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, “Mengapa kamu melepaskan keldai itu?”

34. Mereka menjawab, “Tuhan memerlukannya.”

35. Lalu mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka menaruh jubah mereka pada punggung keldai itu lalu menolong Yesus naik ke atasnya.

36. Sementara Yesus lalu dengan menunggang keldai itu, orang ramai membentangkan jubah di jalan.

37. Apabila Yesus hampir sampai di Yerusalem, di jalan yang menurun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersyukur kepada Allah dan memuji Allah dengan suara keras kerana semua mukjizat yang sudah disaksikan oleh mereka.

38. “Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Allah!”

39. Lalu beberapa orang Farisi antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah semua pengikut guru diam.”

40. Yesus menjawab, “Percayalah, jika mereka diam, batu-batu ini akan mula berseru.”

41. Yesus semakin dekat Yerusalem dan apabila Dia melihat kota itu, Dia menangisinya.

42. Dia berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya.

43. Masanya akan tiba apabila musuh mengelilingimu dengan sekatan. Mereka akan mengepung dan mengasak kamu dari segala arah.

44. Mereka akan memusnahkan kamu dan semua pendudukmu. Tidak seketul batu pun akan tertinggal pada tempatnya, kerana kamu tidak tahu masanya Allah datang menyelamatkan kamu!”

45. Yesus masuk ke Rumah Tuhan dan mula mengusir semua pedagang di situ.

46. Yesus berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!”

47. Setiap hari Yesus mengajar di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin bangsa Yahudi hendak membunuh dia.

48. Tetapi mereka tidak mendapat peluang, kerana orang ramai sentiasa mendengarkan Dia dan tidak mahu terlepas sepatah kata pun.

Lukas 19