13. Tetapi sebelum dia berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap orang. Dia berkata, ‘Berniagalah dengan wang ini semasa aku pergi.’
14. Tetapi penduduk negerinya membenci dia. Setelah dia berangkat, mereka mengirim utusan untuk mengatakan, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’
15. Orang bangsawan itu dilantik menjadi raja, lalu pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang sudah menerima wang emas supaya datang menghadap. Raja hendak mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka.
16. Hamba pertama datang dan berkata, ‘Tuanku, patik berhasil mendapat sepuluh keping wang emas dengan sekeping wang yang tuanku berikan itu.’
17. ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu dapat dipercayai dalam perkara yang kecil, beta akan menjadikan kamu penguasa sepuluh buah kota.’
18. Hamba kedua datang dan berkata, ‘Tuanku, dengan sekeping wang emas yang tuanku berikan, patik berhasil mendapat lima keping wang emas.’
19. Kepada hamba itu raja berkata, ‘Beta akan menjadikan kamu penguasa lima buah kota.’
20. Hamba yang lain datang dan berkata, ‘Tuanku, inilah wang emas tuanku. Patik telah menyimpannya di dalam sapu tangan.
21. Patik takut akan tuanku, kerana patik tahu bahawa tuanku seorang yang keras. Tuanku mengambil apa yang bukan milik tuanku, dan tuanku menuai di tempat yang tidak tuanku semai.’
22. Raja itu berkata kepadanya, ‘Hai hamba yang jahat! Beta akan menghukum kamu menurut kata-katamu sendiri. Kamu tahu bahawa beta seorang yang keras; beta mengambil apa yang bukan milik beta, dan menuai di tempat yang tidak beta semai.
23. Oleh itu kamu seharusnya menyimpan wang beta di bank supaya apabila beta kembali beta dapat menerima wang beta dengan faedahnya.’
24. Kemudian raja itu bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, ‘Ambillah wang emas itu daripadanya dan berikan kepada hamba yang mempunyai sepuluh keping.’
25. Mereka berkata kepada raja itu, ‘Tuanku, dia mempunyai sepuluh keping!’
26. Raja itu menjawab, ‘Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.
27. Sekarang bawa ke mari musuh beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka semua di hadapan beta!’ ”
28. Setelah Yesus berkata demikian, Dia berjalan di hadapan mereka lalu menuju ke Yerusalem.
29. Apabila Yesus tiba dekat Betfage dan Betania di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya berjalan terlebih dahulu.
30. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Haiwan itu belum pernah ditunggang orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke mari.
31. Jika orang bertanya, ‘Mengapa kamu melepaskan keldai itu?’ beritahu orang itu, ‘Tuhan memerlukannya.’ ”