21. Orang itu menjawab, “Sejak muda saya menurut segala hukum itu.”
22. Apabila Yesus mendengar hal itu, Dia berkata kepadanya, “Masih ada satu perkara yang harus kamu lakukan: Juallah segala hartamu lalu dermakan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian ikutlah Aku.”
23. Tetapi apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, dia sedih kerana dia sangat kaya.
24. Yesus melihat bahawa dia sedih. Oleh itu Dia berkata, “Alangkah susahnya bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah!
25. Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”
26. Orang yang mendengar kata-kata Yesus bertanya, “Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan?”
27. Yesus menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia, tidak mustahil bagi Allah!”
28. Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan rumah tangga untuk mengikut Guru.”
29. “Betul!” kata Yesus. “Percayalah, sesiapa yang meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara, atau ibu bapa, atau anak-anak kerana mengabdikan diri kepada Allah,
30. akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda pada masa ini, dan pada zaman yang akan datang dia akan menerima hidup sejati dan kekal.”
31. Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu berkata kepada mereka, “Dengarlah! Kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana segala yang ditulis oleh nabi-nabi tentang Anak Manusia akan berlaku.
32. Dia akan diserahkan kepada orang bukan Yahudi lalu mereka akan mempermainkan, menghina, dan meludahi Dia.
33. Mereka akan menyesah dan membunuh Dia; tetapi pada hari ketiga, Dia akan bangkit semula.”
34. Semuanya itu tidak difahami sedikit pun oleh pengikut Yesus. Makna ucapan itu dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Yesus.
35. Yesus hampir tiba di Yerikho. Di situ ada seorang buta yang sedang duduk di pinggir jalan meminta sedekah.
36. Apabila orang buta itu mendengar orang ramai lalu di situ, dia bertanya, “Apa sedang berlaku?”
37. Mereka memberitahu dia, “Yesus, orang Nasaret itu, lalu.”
38. Segera dia berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah saya!”
39. Semua orang yang di hadapan memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi dia berseru lebih kuat lagi, “Anak Daud, kasihanilah saya!”
40. Yesus berhenti dan menyuruh orang membawa orang buta itu kepada-Nya. Apabila dia tiba, Yesus bertanya kepadanya,
41. “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?”Orang buta itu menjawab, “Tuan, saya ingin melihat semula.”