2. Lebih baik jika batu kisaran diikat pada lehernya, lalu dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah imannya berbuat dosa.
3. Berwaspadalah!Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia. Jika dia bertaubat, ampunilah dia.
4. Jika dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan tiap-tiap kali dia datang kepada kamu serta berkata, ‘Saya minta ampun,’ kamu harus mengampuninya.”
5. Rasul-rasul Yesus berkata kepada Yesus, “Tuhan, teguhkanlah iman kami.”
6. Tuhan menjawab, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok ara ini, ‘Tercabutlah dan tertanamlah di laut.’ Pasti pokok itu akan menurut perintah kamu.”
7. “Andaikan seorang daripada kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menggembalakan domba. Apabila hamba itu balik dari ladang, adakah kamu berkata kepadanya, ‘Marilah dan makanlah’?
8. Tentu tidak! Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Siapkanlah makananku. Kenakan pakaian yang bersih dan layanilah aku sementara aku makan dan minum, setelah itu barulah kamu makan.’
9. Seorang hamba tidak perlu dipuji apabila dia menurut perintah tuannya, bukan?
10. Demikian juga kamu. Apabila kamu sudah melakukan segala yang diperintahkan, berkatalah, ‘Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan.’ ”
11. Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui sempadan Samaria dan Galilea.
12. Apabila Dia memasuki sebuah pekan, sepuluh orang berpenyakit kulit yang mengerikan datang menjumpai Dia. Mereka berdiri dari jauh
13. dan berseru, “Yesus! Tuan! Kasihanilah kami!”
14. Yesus melihat mereka lalu berkata, “Pergilah dan mintalah imam mengesahkan kesembuhan kamu.”Dalam perjalanan ke sana mereka sembuh.
15. Ketika seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat.
16. Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Orang itu orang Samaria.
17. Yesus berkata, “Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan orang lagi?
18. Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?”
19. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bangunlah dan pergilah; kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.”
20. Beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus, “Bilakah Allah akan datang untuk memerintah?” Yesus menjawab, “Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat,
21. sehingga orang dapat berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’; kerana Allah sudah mula memerintah antara kamu.”