Lukas 17:17-31 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Yesus berkata, “Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan orang lagi?

18. Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?”

19. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bangunlah dan pergilah; kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.”

20. Beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus, “Bilakah Allah akan datang untuk memerintah?” Yesus menjawab, “Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat,

21. sehingga orang dapat berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’; kerana Allah sudah mula memerintah antara kamu.”

22. Setelah itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Masanya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat zaman Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya.

23. Nanti orang akan berkata kepada kamu, ‘Lihat, di situ!’ atau, ‘Lihat, di sini!’ Jangan kamu keluar mencarinya.

24. Sebagaimana kilat memancar di langit lalu menerangi langit dari hujung ke hujung, demikian juga keadaan Anak Manusia pada masa itu.

25. Tetapi terlebih dahulu Dia mesti mengalami banyak penderitaan dan tidak diterima oleh orang zaman ini.

26. Seperti pada zaman Nabi Nuh dahulu, demikian juga halnya pada masa Anak Manusia kelak.

27. Orang makan dan minum; lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nabi Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah datang dan membinasakan mereka semua.

28. Juga seperti pada zaman Lot; orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah.

29. Tetapi pada hari Lot meninggalkan Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.

30. Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri.

31. Pada hari itu, orang yang di bumbung rumah, janganlah turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga orang yang di ladang, janganlah balik ke rumah.

Lukas 17