11. Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui sempadan Samaria dan Galilea.
12. Apabila Dia memasuki sebuah pekan, sepuluh orang berpenyakit kulit yang mengerikan datang menjumpai Dia. Mereka berdiri dari jauh
13. dan berseru, “Yesus! Tuan! Kasihanilah kami!”
14. Yesus melihat mereka lalu berkata, “Pergilah dan mintalah imam mengesahkan kesembuhan kamu.”Dalam perjalanan ke sana mereka sembuh.
15. Ketika seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat.
16. Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Orang itu orang Samaria.
17. Yesus berkata, “Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan orang lagi?
18. Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?”
19. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bangunlah dan pergilah; kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.”
20. Beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus, “Bilakah Allah akan datang untuk memerintah?” Yesus menjawab, “Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat,
21. sehingga orang dapat berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’; kerana Allah sudah mula memerintah antara kamu.”
22. Setelah itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Masanya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat zaman Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya.
23. Nanti orang akan berkata kepada kamu, ‘Lihat, di situ!’ atau, ‘Lihat, di sini!’ Jangan kamu keluar mencarinya.
24. Sebagaimana kilat memancar di langit lalu menerangi langit dari hujung ke hujung, demikian juga keadaan Anak Manusia pada masa itu.