2. Lalu seorang lelaki yang bengkak kaki dan lengannya datang kepada Yesus.
3. Yesus bertanya kepada semua guru Taurat dan orang Farisi di situ, “Adakah Taurat membenarkan kita menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat?”
4. Mereka tidak mahu berkata apa-apa. Lalu Yesus memanggil orang itu dan menyembuhkan dia, kemudian menyuruh dia pergi.
5. Setelah itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika seorang di antara kamu mempunyai anak lelaki atau lembu yang jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menariknya keluar pada hari itu juga?”
6. Mereka tidak dapat menjawab Yesus tentang hal itu.
7. Yesus memperhatikan beberapa orang tetamu yang memilih tempat terbaik. Oleh itu Dia menceritakan perumpamaan ini kepada mereka semua.
8. Dia berkata, “Jika seseorang menjemput kamu ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin ada orang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput juga.
9. Lalu tuan rumah yang telah menjemput kamu berdua datang kepadamu dan berkata, ‘Maaf, tempat ini telah disediakan untuk dia.’ Tidakkah kamu akan berasa malu, lalu terpaksa duduk di tempat yang paling belakang?
10. Oleh itu apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling belakang, supaya tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Marilah saudara, duduklah di tempat yang lebih baik.’ Lalu kamu akan dihormati di hadapan semua tetamu lain.
11. Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, tetapi orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
12. Kemudian Yesus berkata pula kepada tuan rumah, “Apabila kamu menjemput orang makan siang atau makan malam, janganlah jemput sahabat, atau saudara, atau sanak keluarga, ataupun jiranmu yang kaya. Kelak mereka akan menjemput kamu pula dan dengan demikian kamu menerima balasan perbuatanmu.
13. Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta.
14. Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian.”
15. Salah seorang yang duduk bersama-sama Yesus mendengar kata-kata-Nya. Dia berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya mereka yang akan dijamu oleh Allah di Dunia Baru Allah!”
16. Yesus berkata kepada orang itu, “Ada seorang yang sedang mengadakan jamuan besar. Dia menjemput banyak orang.
17. Apabila tiba masanya perjamuan itu dimulakan, dia mengutus hambanya kepada semua tetamu dengan jemputan, ‘Marilah, semuanya sudah siap!’
18. Tetapi, seorang demi seorang mula memberikan alasan. Yang pertama berkata kepada hamba itu, ‘Aku baru membeli sebidang tanah dan perlu memeriksanya. Maafkanlah aku.’
19. Yang lain berkata, ‘Aku baru membeli lima pasang lembu dan hendak mencuba haiwan itu. Maafkanlah aku.’
20. Yang lain pula berkata, ‘Aku baru sahaja berkahwin; itulah sebabnya aku tidak dapat datang.’