19. Keadaannya seperti perumpamaan ini: Seorang mengambil sebiji benih sawi, lalu menanamnya di ladang. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok, lalu burung membuat sarang pada cabang-cabangnya.”
20. Sekali lagi Yesus bertanya, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan keadaannya apabila Allah memerintah?
21. Keadaannya seperti ini: Seorang wanita mengambil ragi lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik!”
22. Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan pekan sambil mengajar.
23. Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?”Yesus menjawab,
24. “Berusahalah sebaik-baiknya untuk masuk melalui pintu yang sempit, kerana banyak orang yang mencuba masuk, tetapi tidak dapat.
25. Pada waktu tuan rumah bangun dan menutup pintu, kamu yang berdiri di luar mula mengetuk pintu dan berkata, ‘Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Tuan itu akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang!’
26. Kamu akan menjawab, ‘Kami sudah makan dan minum bersama-sama tuan, dan tuan juga mengajar di kota kami!’
27. Tetapi tuan itu akan berkata lagi, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, kamu semua yang melakukan kejahatan!’
28. Pada waktu kamu melihat Abraham, Ishak, dan Yakub serta semua nabi bersukacita di Dunia Baru Allah, kamu akan menangis dan menderita kerana kamu diusir ke luar!
29. Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara dan selatan, untuk menikmati jamuan di Dunia Baru Allah.
30. Sesungguhnya orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir.”
31. Pada masa itu juga, beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan berkata kepada-Nya, “Tinggalkan tempat ini. Pergilah ke tempat lain, kerana Herodes hendak membunuh kamu.”
32. Yesus menjawab, “Pergilah beritahu orang licik itu, ‘Hari ini dan esok Aku mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit, lalu pada hari ketiga, Aku akan menyelesaikan pekerjaan-Ku.’
33. Meskipun demikian Aku harus meneruskan perjalanan hari ini, esok, dan lusa, kerana tidak semestinya seorang nabi dibunuh di tempat lain kecuali di Yerusalem.
34. Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam para utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam melindungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi engkau tidak mahu!
35. Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah dan engkau tidak akan melihat Aku lagi sehingga tiba masanya engkau berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.’ ”