5. Biarlah Aku tunjukkan siapa yang mesti kamu takuti. Takutlah akan Allah, kerana Dia berkuasa mengambil nyawa orang, dan Dia juga berkuasa membuang orang itu ke dalam neraka! Percayalah, Allah yang harus kamu takuti!
6. Bukankah lima ekor burung pipit dijual seharga dua sen? Meskipun demikian tidak seekor pun dilupakan oleh Allah.
7. Sebenarnya rambut di kepala kamu pun telah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut kerana bagi Allah kamu lebih berharga daripada burung pipit!”
8. “Ingatlah bahawa sesiapa yang mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.
9. Tetapi sesiapa yang tidak mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan tidak diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.
10. Sesiapa yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya, dapat diampuni; tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah tidak dapat diampuni.
11. Apabila kamu didakwa di rumah ibadat atau di hadapan gabenor atau penguasa, janganlah khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan.
12. Roh Allah akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu.”
13. Seorang daripada orang ramai berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah saudara saya berikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepada saya.”
14. Yesus berkata kepadanya, “Saudara, siapa memberikan kuasa kepada-Ku untuk menjadi hakim, ataupun membahagikan harta antara kamu berdua?”
15. Seterusnya Yesus berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.”
16. Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang hartawan mempunyai tanah yang menghasilkan tuaian yang banyak.
17. Dia mula berfikir dalam hati, ‘Aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan segala hasil tanahku. Apakah yang harus aku lakukan?’
18. ‘Inilah yang akan aku lakukan,’ katanya kepada dirinya sendiri, ‘Aku akan merombak gudang-gudangku lalu mendirikan yang lebih besar. Dengan demikian aku dapat menyimpan hasil tanahku dan segala hartaku yang lain di situ.
19. Setelah itu barulah aku berkata kepada diriku sendiri, kamu sungguh bertuah! Kamu mempunyai segala yang baik bagi keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup! Makan, minum, dan bersukacitalah!’
20. Tetapi Allah berkata kepadanya, ‘Hai bodoh! Malam ini juga engkau mesti menyerahkan nyawamu! Lalu siapakah yang akan mendapat segala harta yang telah engkau kumpulkan untuk dirimu sendiri itu?’ ”
21. Lalu Yesus mengakhiri cerita-Nya dengan berkata, “Demikianlah halnya dengan orang yang mengumpulkan harta untuk diri sendiri, padahal tidak kaya di sisi Allah.”
22. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu: Janganlah khuatir tentang hidup kamu, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu pakai.
23. Hidup itu lebih berharga daripada makanan, dan tubuh lebih berharga daripada pakaian.
24. Perhatikanlah burung gagak yang tidak menanam benih, tidak menuai tuaian dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, tetapi dipelihara oleh Allah! Kamu jauh lebih berharga daripada burung!