Lukas 12:41-55 Alkitab Berita Baik (BM)

41. Petrus bertanya, “Adakah Tuhan menujukan perumpamaan ini kepada kami atau kepada semua orang?”

42. Tuhan menjawab, “Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk oleh tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan.

43. Alangkah bahagianya orang yang didapati sedang menjalankan tugas apabila tuannya kembali!

44. Ketahuilah bahawa tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu.

45. Tetapi jika hamba itu berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuan saya akan kembali.’ Lalu dia mula memukul semua hamba yang lain, baik lelaki mahupun wanita, dan dia makan minum sehingga mabuk.

46. Pada hari dan masa yang tidak diduganya, tuannya kembali. Tuan itu akan mencencang hambanya dan membiarkan dia merasai nasib orang yang tidak taat kepada Allah.

47. Hamba yang mengetahui kehendak tuannya, tetapi tidak bersiap sedia untuk melakukan kehendak tuannya, akan disebat dengan keras.

48. Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, lalu melakukan sesuatu yang salah sehingga dia mesti disebat, akan disebat dengan ringan sahaja. Kepada orang yang telah diberikan banyak, daripadanya akan dituntut banyak juga. Orang yang telah diberikan lebih banyak, daripadanya akan dituntut lebih banyak juga.”

49. “Aku datang untuk membawa hukuman Allah yang seperti api akan membakar penduduk bumi. Alangkah baiknya jika api itu sudah menyala!

50. Masih ada penderitaan berat yang mesti Aku alami. Alangkah resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum berakhir!

51. Adakah kamu menyangka Aku datang ke dunia ini untuk membawa kedamaian? Tidak, bukan kedamaian, tetapi perpecahan.

52. Mulai dari sekarang, keluarga yang terdiri daripada lima orang akan berlawanan: tiga lawan dua dan dua lawan tiga.

53. Bapa akan melawan anak lelaki dan anak lelaki akan melawan bapa. Ibu akan melawan anak perempuan dan anak perempuan akan melawan ibu. Ibu mentua akan melawan menantu perempuan dan menantu perempuan akan melawan ibu mentua.”

54. Yesus juga berkata kepada orang ramai, “Apabila kamu melihat awan naik di sebelah barat, dengan segera kamu berkata, ‘Hari akan hujan,’ dan benar-benar hari hujan.

55. Apabila kamu berasa angin selatan bertiup, kamu berkata, ‘Hari akan panas,’ dan benar-benar hari panas.

Lukas 12