8. Yesus berkata, “Lalu bagaimana? Ketahuilah, meskipun kamu kawannya, dia tidak mahu bangun dan memberikan roti kepada kamu. Tetapi kerana kamu tidak segan untuk terus-menerus meminta, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan.
9. Oleh itu Aku berkata kepada kamu: Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu.
10. Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya, dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya.
11. Siapakah antara kamu selaku bapa akan memberikan ular kepada anaknya ketika dia meminta ikan?
12. Atau adakah kamu akan memberikan kala jengking ketika dia meminta telur?
13. Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu, lebih-lebih lagi Bapa yang di syurga! Dia akan memberikan Roh-Nya kepada mereka yang meminta daripada Bapa!”
14. Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan,
15. tetapi ada beberapa orang yang berkata, “Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.”
16. Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah.
17. Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur.
18. Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul.
19. Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah!
20. Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu.