Lukas 11:34-51 Alkitab Berita Baik (BM)

34. Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita.

35. Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap.

36. Jika seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya dan tidak ada bahagian yang gelap, maka seluruh tubuhmu itu terang benderang seperti disinari cahaya.”

37. Setelah Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke situ lalu mulai makan.

38. Orang Farisi itu hairan melihat Yesus makan dengan tidak membasuh tangan terlebih dahulu.

39. Oleh itu Tuhan berkata kepadanya, “Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan.

40. Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam?

41. Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih.

42. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberikan sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain.

43. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu suka akan tempat duduk khas di dalam rumah ibadat dan kamu suka dihormati di pasar.

44. Malanglah kamu! Kamu seperti kubur tidak bernisan, yang dipijak-pijak orang tanpa disedari.”

45. Salah seorang guru Taurat berkata kepada Yesus, “Guru, apabila guru berkata begitu, guru menghina kami juga!”

46. Yesus menjawab, “Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.

47. Malanglah kamu! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi yang dibunuh oleh nenek moyang kamu.

48. Dengan tindakan itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyang kamu. Mereka membunuh nabi-nabi itu dan kamu membuat kubur bagi para nabi itu.

49. Itulah sebabnya Kebijaksanaan Allah berkata, ‘Aku akan mengutus nabi dan utusan kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya!’

50. Demikianlah orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi sejak dunia ini diciptakan,

51. mulai daripada pembunuhan Habel sehingga pembunuhan Zakharia yang berlaku di antara mazbah dan Tempat Suci itu. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi itu.

Lukas 11